Gambar: Tatu
Amalan menatu (pantang dalam bahasa Iban) ialah cara terpenting bagi perhiasan badan di kalangan orang Iban. Melihat badan orang Iban yang penuh dengan tatu adalah kebiasaan pada suatu masa dulu. Orang Iban percaya bahawa amalan menatu bukan sahaja berkait rapat dengan banyak aspek budaya mereka khasnya ngayau (memotong kepala) dan kepercayaan rohaniah tetapi juga kehidupan selepas mati.
Mengikut tradisi, roh seseorang yang telah mati menghadapi banyak halangan dalam perjalanannya ke syurga iaitu tanah nenek-moyangnya. Halangan terbesar ialah Sungai Mati. Hanya roh seseorang yang pernah ditatu dengan sempurna dapat melalui jambatan yang melintasi sungai itu. Tatu itu mula bersinar dan membantu roh itu untuk mencari jalan ke syurga. Manakala, roh yang gagal akan dihalang oleh Maligang, penjaga jambatan, dan jatuh ke dalam sungai dan akhirnya dimakan oleh seekor ikan gergasi yang bernama Patan.
Tatu Iban merupakan simbol penting untuk menunjukkan amalan orang Iban dalam ngayau. Bagi golongan lelaki, ngayau ialah bukti kelakian, keberanian, kemenangan dalam perang dan status. Untuk menandakan kejayaan ini, pahlawan Iban ditatu pada badan, jari, lengan tangan dan paha. Bagi wanita Iban pula, tatu yang dicorakkan pada jari, lengan tangan, kaki dan paha mencerminkan kedudukan sosial dan pencapaian mereka dalam menenun, menari atau menyanyi. Sebagai ganti kepada ngayau, menenun adalah dipercayai sebagai 'perang wanita' bagi masyarakat Iban. Oleh itu, tatu Iban juga merupakan simbol untuk merekodkan dan menceritakan pengalaman, pengembaraan dan pencapaian seseorang.
Alaman menatu orang Iban banyak berunsurkan rohaniah dan keagamaan. Kebanyakan corak (kelingai) terdiri daripada ukiran tumbuhan (bunga terung, buah engkabang rarah), haiwan (kenyalang, naga, anjing, kala, ketam), barangan (balang, tenggorak, gelang) atau manusia (perempuan). Corak-corak ini dipercayai berkait rapat dengan unsur-unsur sembuh dan perlindungan yang dapat melindungi suku kaum Iban daripada roh-roh jahat, musuh, kecelakaan dan penyakit.
Selain kepercayaan-kepercayaan tersebut, amalan menatu juga dilakukan sebagai upacara inisiasi di kalangan orang Iban dan berfungsi sebagai elemen kecantikan yang mustahak bagi wanita Iban.
Gambar: Robert's Tattoo Art
Tatu Iban adalah spesifik pada bahagian-bahagian badan yang tertentu. Misalnya, ukiran balang amat nyata kelihatan pada leher, bunga terung pada bahu, kala pada tangan dan ukiran lain pada badan dan kaki. Sesuatu perkara yang menarik ialah tatu bagi wanita banyak kelihatan pada tangan dan lengan dengan ukiran yang terhad kepada gelang, cincin dan tompok; manakala tatu pada leher hanya boleh diukirkan pada lelaki sahaja.
Amalan menatu orang Iban dilakukan di luar sesebuah rumah panjang. Corak dilukis terlebih dahulu pada bahagian badan yang ingin ditatu dengan jelaga daripada bakaran damar. Dengan menggunakan pewarna tradisional dan satu alat khas yang mempunyai satu atau lebih jarum tajam yang diikat dengan getah pada satu hujung, seorang pengukir tatu akan memukul alat khas itu dengan sebatang kayu untuk mencucuk badan yang menyebabkan kesakitan yang amat perit. Selepas mengukir corak, tepung beras dibubuhkan untuk melegakan kesakitan pada bahagian badan yang ditatu.
Pada hari ini, amalan menatu secara tradisional ini telah digantikan oleh mesin menatu elektrik dan corak tatu Iban yang asli pun jarang dipilih berbanding dengan corak barat dan moden.
Sekiranya anda berminat untuk mencacah tatu Iban (nota: jarum bersih digunakan) semasa melawat Kapit, sila pergi ke:
|
Robert’s Tattoo Art |
| Alamat |
No.2, Tingkat 1, Gelanggang Kenyalang, 96800 Kapit |
| Tel |
+6013-5707695 |
| Faks |
~Tiada~ |
Galeri Gambar: Tatu